Friday, July 25, 2008

MENDEKATI BUKAN MINTA UNTUK DIDEKATI

Mendekati sebelum didekati. Dalam berdakwah, kita tidak boleh mengharapkan orang untuk mendekati kita, sewajipnya kitalah yang perlu mendekati mereka. Apabila kita merelakan diri untuk mendekati, menghampiri dan memahami orang lain, barulah ramai hati –hati yang telah lama terkunci, kininya telah terbuka luas untuk menerima kita dan seterusnya berani untuk mendekati kita.

Kebanyakan kita apabila membuat suatu program seperti ceramah, kuliah, seminar atau apa sahaja aktiviti dakwah atau tarbiah, selalunya kita amat-amat mengharapkan mad’u menghadiri program kita. Kita akan berdoa dan bersolat hajat agar mereka terbuka hati untuk menyertai program kita. Apabila yang hadir hanyalah dikalangan ahli pertsatuan kita sahaja atau orang yang telah di usrahkan dan bilangan yang hadir tidaklah ramai, maka kita akan mempersalahkan publisiti yang tidak efektif atau orang yang merancangnya tidak teliti dan pelbagai alasan lagi. Tidak dinafikan bahawa alasan tersebut ada benarnya. Namun di sana ada lagi kesilapan kita yang lebih utama. Iaitu kita sering membuat program untuk orang mendekati kita, bukan mengadakan program untuk kita lebig mendekati orang lain atau mad’u. Kita terlepas pandang bahawa kita perlu mendekati sebelum didekati.

Gabungan Anak Muda Islam Se-Malaysia (GAMIS) kini cuba memahami ‘mendekati sebelum didekati’ dan merangka untuk mendekati masyarakat sebagai salah satu agenda dakwah dan kebajikan. Beberapa aktiviti dan program telah dibincangkan, yang memerlukan ramai sukarelawan seluruh negara untuk turun bersama memahami hakikat hidup masyarakat. GAMIS hanya perlukan jiwa-jiwa anak muda yang didalamnya hanya mengharapkan redho Allah dalam mengerakkan agenda ini. Tiada wang dan harta untuk dijanjikan melainkan janji-janji Allah yang akan tiba bagi yang menginfakkan dirinya ke jalanNYA.

0 comments: